RINGKASAN 1


Baca petikan di bawah dengan teliti. Tulis sebuah ringkasan tentang kebaikan-kebaikan bersukan. Panjang ringkasan hendaklah antara 80 hingga 100 patah perkataan. Anda digalakkan menggunakan ayat anda sendiri tanpa mengubah maksud asal petikan.


            Sukan merupakan aktiviti riadah yang boleh dilakukan oleh semua lapisan masyarakat. Bagi murid sekolah pula, mereka diwajibkan untuk menyertai sekurang-kurangnya satu jenis sukan. Antara sukan yang boleh disertai di sekolah termasuklah bola sepak, badminton dan bola tampar. Terdapat beberapa kebaikan melibatkan diri dalam aktiviti sukan.


            Antara faedah melibatkan diri dalam aktiviti sukan termasuklah dapat menyihatkan  tubuh badan. Aktiviti sukan yang melibatkan pergerakkan fizikal akan mengeluarkan peluh dan membakar lemak. Individu yang tidak bersukan akan mengalami kelesuan, kesukaran tidur dan berpotensi untuk mendapat penyakit. Individu yang kerap bersukan pula akan mempunyai badan yang sihat dan bertenaga.

            Selain itu, bersukan juga mampu mengeratkan hubungan sesama rakan berbilang bangsa. Seseorang yang bersukan boleh mengeratkan hubungan dengan rakan dan turut menambah kenalan baharu. Sukan seperti bola sepak memerlukan kordinasi dan kerjasama antara pemain. Hal ini menyebabkan hubungan antara pemain menjadi semakin rapat.

            Di samping itu, sukan  juga dapat mengurangkan stres dan tekanan. Hal ini penting kerana stres yang terkumpul boleh mendatangkan pelbagai keburukan sekiranya tidak dikawal. Antara kesan  stres termasuklah sukar untuk fokus, insomnia dan sakit kepala. Aktiviti sukan dapat mengurangkan stres dan mendatangkan perasaan gembira.

            Akhir sekali, bersukan merupakan aktiviti berfaedah untuk mengisi masa lapang yang ada. Murid yang bersekolah pada waktu pagi, mempunyai waktu terluang pada waktu petang. Mereka boleh menggunakan waktu terluang ini untuk bermain bola sepak, bola keranjang dan badminton bersama rakan-rakan. Murid-murid yang bersukan akan terhindar dari aktiviti yang tidak berfaedah dan merugikan.

            Kesimpulannya, bersukan memberi banyak kebaikan kepada kita. Sukan merupakan aktiviti berfaedah yang patut menjadi amalan rakyat Malaysia. Semua pihak harus berganding bahu bagai isi dengan tebing untuk menjadikan sukan sebagai budaya rakyat Malaysia. Semoga negara kita dapat melahirkan lebih banyak atlet-atlet bertaraf dunia.

Comments

Popular posts from this blog

Karangan Keperihalan: Pengalaman Menyertai Perkhemahan

Laporan Perkemahan Unit Beruniform SMK Horley Methodist

Karangan Keperihalan: Pengalaman Menyertai Karnival Keusahawanan